SUMBER ILMU



HILANG BAHASA LENYAPLAH BANGSA


Assalamualaikum

Bahasa Jiwa Bangsa dengan jelas menunjukkan kepentingan bahasa dalam memupuk perpaduan kaum. Kerajaan telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Mulai tahun 1970, bahasa Melayu secara berperingkat-peringkat telah menggantikan bahasa Inggeris sebagai pengantar di sekolah-sekolah.
Dasar bahasa kebangsaan merupakan asas terpenting bagi perkembangan bahasa Melayu di Malaysia. Dasar bahasa meletakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, seperti terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Menurut Kamus Dewan (1970:59), bahasa rasmi adalah bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam, bahasa penghantar serta bahasa ilmiah di sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi.
Pihak kerajaan telah mengeluarkan surat pekeliling Am No.12, tahun 1967 untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu secara rasmi. Melalui pekeliling ini, bahasa Melayu perlu digunakan untuk tujuan-tujuan rasmi dalam pentadbiran harian, bahasa penghantar di sekolah, surat-menyurat rasmi kerajaan yang meliputi semua jabatan kerajaan persekutuan dan negeri. Sehingga kini bahasa Melayu masih teguh dan berdiri tegak sebagai bahasa rasmi walaupun sering menerima kritikan daripada pelbagaai pihak.
Dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu, kerajaan telah memansuhkan PPSMI dan melaksanakan dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris(MBMMBI) bagi murid tahap satu mulai 2011. Tan Sri Muhyidin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, kerajaan komited tidak kembali kepada dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kerana dasar baru iaitu MBMMBI adalah selaras dengan keperluan negara untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

 BAHASA JIWA BANGSA


Assalammualaikum
Selamat Datang ke blog saya. Di sini kita membicarakan tentang penggunaan Bahasa Melayu dengan betul. Di ruangan ini juga kita dapat mengupas isu bahasa yang sering kali menjadi topik dan polimik masyarakat. Diharap dengan percambahan idea dan pendapat semua, Bahasa Kita menjadi bahasa yang diguna pakai seantero dunia serta setanding dengan bahasa bangsa lain .


 
Definisi Bahasa
  
Edward Sapir (1948:8) mendefinisikan bahasa sebagai satu alat atau cara yang hanya dimiliki manusia untuk berkomunikasi, menyampaikan idea, emosi dan kehendak mereka.
Albert B. Cook  (1977) berpendapat bahasa adalah satu sistem simbol pertuturan yang arbitrari dan penanda kenahuan yang digunakan oleh anggota sesebuah komuniti.
Nelson Francis pula mendefinisikan bahasa sebagai satu sistem bunyi yang dihasilkan oleh alat tutur yang digunakan oleh sekelompok manusia sebagai wahana atau cara untuk menjalankan apa-apa sahaja aktiviti masyarakat mereka.
Samsuri (1978) menyatakan bahasa adalah alat yang dipakai untuk membentuk fikiran dan perasaan, keinginan dan perbuatan. Selain itu, sebagai penanda bangsa, bahasa merefleksi atau menggambarkan latar belakang budaya seseorang pengguna atau penuturnya.
Menurut Kamus Linguistik (1997:27), bahasa adalah keupayaan fitrah manusia yang berupa satu lambang bunyi suara arbitrari yang dipersetujui bersama oleh kelompok sosial dan digunakan sebagai alat berkomunikasi.
Kesimpulannya ~ Bahasa merupakan satu sistem simbol bunyi yang arbitari dan melalui bahasa manusia dapat berkomunikasi. Bahasa berfungsi untuk membuka bicara, menghindarkan komunikasi, komunikasi instrumental, komunikasi afektif, melepaskan tekanan perasaan, dan menceritakan perkara tahyul dan berfungsi dalam bidang ritual. 


Tip UPSR: Strategi jawab soalan Bahasa Melayu

SIKAP tidak berhati-hati, gopoh dan malas berfikir panjang sewaktu menjawab soalan adalah antara faktor menyebabkan calon kehilangan markah atau tidak memperoleh jumlah maksimum untuk kertas Bahasa Melayu Pemahaman.

Bagi membantu calon mendapat markah maksimum, beberapa petua diberikan bagi menjawab soalan kertas ini dengan baik.

BAHAGIAN TATABAHASA

Pastikan calon sudah menguasai kesemua aspek penggunaan bahasa dalam bahagian tatabahasa.

Langkah ini penting kerana kesemua pilihan jawapan yang diberikan perlu difahami makna atau maksudnya terlebih dulu sebelum memilihnya sebagai jawapan.

Berikut beberapa langkah yang perlu dilakukan calon sewaktu menjawab soalan bahagian tatabahasa.

A. Faham

Seperti dikatakan, calon perlu memahami maksud kesemua pilihan jawapan yang diberikan. Kesalahan memilih jawapan berlaku kerana calon tidak memahami pilihan jawapan tersebut.

Untuk menjawabnya, ada dalam kalangan calon hanya mengagak maksud jawapan tersebut. Tindakan ini salah kerana calon perlu berusaha memahami maksud pilihan jawapan itu, bukan sekadar mengagak.

Biasanya akan wujud satu atau dua pengganggu jawapan yang paling dekat dengan jawapan yang tepat. Oleh itu, calon perlu benar-benar memahami pilihan jawapan yang disediakan.

Sebaiknya, buatlah catatan ringkas mengenai maksud bagi setiap pilihan jawapan tersebut.

Contoh soalan;

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

A lincir - licin

B cekap - mampu melakukan

C pintar - pandai

D lancar - fasih

B. Baca

Baca ayat soalan. Fahami betul-betul ayat tersebut dan kesesuaiannya dengan pilihan jawapan. Pilihan jawapan sebeginilah yang biasanya menjadi perangkap terutama kepada calon yang kurang berfikir.

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

C. Kesan

Calon perlu mengesan klu yang terdapat dalam ayat atau gambar. Ini penting kerana klu inilah yang akan membantu dan memudahkan calon memilih jawapan yang tepat.

Dalam soalan ini, klunya adalah ‘menyampaikan’ (Bulatkan perkataan menyampaikan).

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

D. Pilih

Peringkat ini paling penting. Pilihlah jawapan yang paling tepat dan mengikut kehendak soalan. Oleh itu, fahamkan betul-betul kesesuaian ayat dengan pilihan jawapan.

Peserta itu menyampaikan ceritanya dengan _____ dan gaya yang menarik.

Pengganggu jawapan yang hampir tepat

A lincir - licin

B cekap - mampu melakukan

C pintar - pandai

D lancar - fasih

Pilihan jawapan yang paling tepat

Selain itu, pastikan calon mengikuti langkah berikut:

* Jawab soalan yang mudah terlebih dulu.

* Jangan membuang masa dengan menjawab soalan yang susah.

* Peruntukkan masa antara 15 hingga 20 minit untuk bahagian tatabahasa.

* Segera jawab soalan bahagian petikan.

* Baki masa perlu digunakan untuk menyemak semula jawapan.

BAHAGIAN PEMAHAMAN

Calon hanya perlu menjawab 10 soalan dalam bahagian pemahaman. Namun begitu, setiap soalan berkait rapat dengan petikan yang disediakan.

Antara langkah yang perlu dilakukan sewaktu menjawab soalan petikan ialah:

A. Baca dan faham

Calon perlu membaca petikan dan memahaminya terlebih dulu. Selepas itu barulah membaca soalan dan memahami pilihan jawapan yang disediakan. Jangan menjawab soalan tanpa membaca petikan terlebih dulu.

Contoh soalan:

Sebelum menghilang, lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula beberapa ekor sebagai tanda menghormati.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut?

A Jangan menangkap ikan di kawasan tersebut.

B Beberapa ekor ikan perlu dilepaskan selepas memancing.

C Memancing akan menyebabkan dia diserang penyakit misteri.

D Di dalam kawasan tersebut ada beberapa ekor ikan yang boleh ghaib.

B. Cari pembayang jawapan

Biasanya klu atau pembayang jawapan ada dalam petikan. Calon perlu menggariskan klu tersebut.

Sebelum menghilang, lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula beberapa ekor sebagai tanda menghormati.

C. Penyesuaian

Sesuaikan pembayang yang ditanda atau digariskan dengan pilihan jawapan diberikan.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut? (soalan)

... lelaki itu berpesan seandainya mereka berjaya menangkap ikan di kawasan tersebut hendaklah dilepaskan semula (pembayang)

D. Memilih

Jika calon sudah jumpa pilihan jawapan yang sesuai dengan pembayang ditanda atau digariskan, pilihlah jawapan tersebut mengikut kehendak soalan. Jangan sesekali memilih jawapan yang tidak ada pembayangnya dalam petikan.

Apakah pesanan terakhir lelaki tersebut?

A Jangan menangkap ikan di kawasan tersebut.

B Beberapa ekor ikan perlu dilepaskan selepas memancing. (JAWAPAN)

C Memancing akan menyebabkan dia diserang penyakit misteri.

D Di dalam kawasan tersebut ada beberapa ekor ikan yang boleh ghaib.

Langkah di atas perlu dilakukan dengan penuh teliti. Namun begitu beberapa kelemahan perlulah diatasi agar calon tidak melakukan kesilapan merugikan. Antara kelemahan tersebut ialah:

i. Tidak membaca arahan untuk setiap soalan.

ii. Menjawab soalan dengan tergesa-gesa.

iii. Kurang memberi tumpuan kepada kata kunci pada setiap soalan.

iv. Membuang masa dengan soalan yang susah.

v. Tersalah menanda jawapan yang sepatutnya pada kertas jawapan.

vi. Menghabiskan masa terlalu lama membaca petikan.

vii. Tidak memadam jawapan yang salah dengan bersih pada kertas OMR.

Ingat!:
Sebaik saja selesai menjawab semua soalan, kira jumlah tanda hitam di atas kertas OMR. Pastikan tanda hitam itu cukup 40. Jika kurang, bermakna ada soalan yang belum berjawab, tetapi jika lebih, mungkin ada soalan yang ditanda dua jawapan. Oleh itu, calon perlu semak semula.


KENALI BAHASA KITA 

Bahasa Jiwa Bangsa dengan jelas menunjukkan kepentingan bahasa dalam memupuk perpaduan kaum. Kerajaan telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Mulai tahun 1970, bahasa Melayu secara berperingkat-peringkat telah menggantikan bahasa Inggeris sebagai pengantar di sekolah-sekolah.
Dasar bahasa kebangsaan merupakan asas terpenting bagi perkembangan bahasa Melayu di Malaysia. Dasar bahasa meletakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, seperti terkandung dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Menurut Kamus Dewan (1970:59), bahasa rasmi adalah bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam, bahasa penghantar serta bahasa ilmiah di sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi.
Pihak kerajaan telah mengeluarkan surat pekeliling Am No.12, tahun 1967 untuk memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu secara rasmi. Melalui pekeliling ini, bahasa Melayu perlu digunakan untuk tujuan-tujuan rasmi dalam pentadbiran harian, bahasa penghantar di sekolah, surat-menyurat rasmi kerajaan yang meliputi semua jabatan kerajaan persekutuan dan negeri. Sehingga kini bahasa Melayu masih teguh dan berdiri tegak sebagai bahasa rasmi walaupun sering menerima kritikan daripada pelbagaai pihak.
Dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu, kerajaan telah memansuhkan PPSMI dan melaksanakan dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuh bahasa Inggeris(MBMMBI) bagi murid tahap satu mulai 2011. Tan Sri Muhyidin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, kerajaan komited tidak kembali kepada dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kerana dasar baru iaitu MBMMBI adalah selaras dengan keperluan negara untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan